IPOH: Kedai Bergerak 1Amanjaya (KB1AJ) yang diusahakan Yayasan Bina Upaya (YBU) diminta menambah bilangan barangan, terutama gula dan beras bagi memenuhi permintaan masyarakat di luar bandar.

Datuk Zainun Mat Nor (BN-Chendroh) yang membuat permintaan itu berkata, kebelakangan ini jumlah barangan seperti beras dan gula tidak dapat memenuhi permintaan masyarakat.

“Saya harap selepas ini Kedai Bergerak 1Amanjaya dapat menambah jumlah barangan tersebut untuk kegunaan seharian masyarakat,” katanya semasa membahaskan titah Sultan Perak di Sidang DUN Perak pada Rabu.

Beliau juga meminta agar kerajaan tidak mengorbankan kampung tradisional atas nama pembangunan.

“Kita mendengar ada negeri yang telah mengorbankan kampung tradisional atas nama pembangunan hingga rakyat terpaksa berpindah ke negeri lain.

“Saya harap ini tidak berlaku melainkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan misalnya banjir dan sebagainya,” ujarnya.