BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rakyat Malaysia yang terlibat dengan militan Negara Islam (IS), Mohd Nizam Ariffin, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Iraq.

Menurut beliau, Mohd Nizam, 38, yang juga dikenali sebagai Abu Afghan, terbunuh baru-baru ini, selepas kematian seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Wandy.

Zahid berkata, kerajaan menyifatkan kematian Abu Afghan, sebagai kematiab pengganas yang datang dari Malaysia dan tidak akan membawa pulang jenazahnya.

Menurutnya, jika keluarga Mohd Nizam ingin membawa pulang  jenazahnya, mereka boleh menghubungi rakan-rakannya.

“Jika ada fatwa daripada mana-mana pihak mengatakan kematian pengganas-pengganas dari Malaysia ini sebagai syahid, kerajaan tidak mengiktiraf bahawa kematian-kematian itu sebagai syuhadah dan pengesahan ini adalah untuk mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan mengusahakan untuk membawa mayat itu pulang kerana beliau melakukan kesalahan atas risiko yang ditanggung oleh beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Agropreneur Muda Perak 2017 di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Bagan Datuk, di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyerahkan geran RM13 juta untuk lebih 800 program Agropreneur Muda negeri Perak.

Mohd Nizam dikatakan muncul dalam video propaganda IS Januari tahun lepas bersama dengan rakan militannya, Abdul Halid Dari.

Mereka menggelarkan diri sebagai ahli Katibah Nusantara (sayap IS), dan memanggil saudara militan Katibah dari Somalia, al-Shabaab untuk menyertai kumpulan dan berada di barisan hadapan di Syria.