PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti lebih 55,000 rayuan dan permohonan individu yang ingin mendapatkan sijil kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima banyak rayuan termasuk untuk sijil kewarganegaraan, kad merah dan kategori taraf warga negara bagi anak-anak.

“Jumlah permohonan agak ramai, namun jika layak dan mematuhi syarat ditetapkan, maka mereka akan diberi kelulusan.

“Tahun ini sahaja kami berjaya luluskan 1,641 permohonan bagi sijil kewarganegaraan. Secara keseluruhan, JPN menerima sejumlah 3,853 permohonan daripada individu berketurunan India berusia 60 tahun ke atas.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,641 individu menepati semua syarat ditetapkan dan permohonan kerakyatan mereka diluluskan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan di sini, hari ini.

Pada majlis sama, lebih 200 penerima menerima sijil kewarganegaraan masing-masing.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim; dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Beliau berkata, kelulusan permohonan itu diberikan selaras memenuhi janji dalam Manifesto Pakatan Harapan di mana kelulusan akan diberikan kepada warga negara yang layak serta diberi pertimbangan atas dasar mereka lebih lama berada di negara ini selain berkelakuan baik dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Sementara itu, seorang penerima sijil kewarganegaraan, R Muniamah, 86, dari Desa Mentari, Subang, berkata dia bersyukur kerana diberi kerakyatan negara ini selepas hampir 20 kali memohon.

Katanya, dia dibawa oleh ibu bapanya ke Tanah Melayu pada 1948 ketika masih bayi bersama dua kakak dan seorang abang sebelum menetap di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

“Saya akui susah untuk memohon pekerjaan, malah terpaksa berniaga menjual barang-barang serta peralatan sembahyang di kuil.

Sebelum ini, saya pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun bantuan itu dihentikan beberapa tahun lalu.

“Saya akan memohon semula bantuan itu selepas menerima MyKad nanti,” katanya.

Selain itu, seorang lagi penerima warga emas, S Thanapakkom, 103, berkata, dia dilahirkan di Tanjung Malim, Perak dan ibu bapanya pula berasal dari India.

“Pada awalnya, saya diberikan kad pengenalan kerakyatan negara ini, namun saya memohon semula kad pengenalan baru kerana kesilapan mendaftar nama bapa.

“Bagaimanapun, ketika permohonan semula itu, saya diberikan kad merah sehinggalah saya memohon semula MyKad pada 2015 kerana ingin mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, V Thannkkodi, 57, kepada media memandangkan Thanapakkom mengalami masalah pendengaran – berita harian