PUTRAJAYA 9 Okt. – Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan penerbitan terhadap 22 buah buku kerana kandungannya memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan adalah dilarang secara mutlak di negara ini.

“Secara keseluruhannya, semua penerbitan ini dilihat boleh mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda kerana tidak sesuai dijadikan bahan bacaan umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Alwi, antara 22 buku dilarang penerbitan tersebut adalah Terjemahan al-Qur’an, al- Qur’an Translation, The Meaning of The Glorious Qur’an Korean Edition, The Meaning of The Holy Quran (edisi terjemahaan Bahasa Cina), The Meaning of al-Qur’an (The Guidance for Mankind), The Quran Modern English Translation dan Terjemahan al-Quran Bahasa Melayu.

Katanya, selain itu, Tantra: The Search For Ecstacy, Aku _______, Maka Aku Ada!, Sekitar Masalah Tariqat (naqsyabandiyah) dan Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi.

“Kementerian ingin menarik perhatian bahawa penerbitan terjemahan al-Quran tanpa teks asal adalah dilarang kerana ia perlu dilakukan bersama ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Menurut Alwi, orang ramai yang didapati mencetak, mengedar dan memilikinya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301 yang menetapkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai untuk melaporkan kepada pihak kementerian sekiranya menjumpai mana-mana buku yang dilarang penerbitannya tetapi masih berada di pasaran.

Katanya, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran menerusi talian 0388868047 atau faks 0388891682 selain melayari laman http://moha.spab.gov.my.

-Utusan Online