IPOH: Sejak 2010 hingga 2015, Perak telah mencapai kadar pertumbuhan KDNK dikompaun (CAGR) sebanyak 6 peratus, sekaligus meletakkannya di tangga keempat di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kadar itu lebih baik daripada kadar yang dicatatkan di peringkat nasional dan negeri-negeri lain seperti Melaka (5.6%), Pulau Pinang (5.7%), Johor (5.9%) dan beberapa negeri lain.

Menurut beliau, statistik daripada Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di Perak telah mencatatkan RM43.3 bilion pada 2010, RM46.3 bilion (2011), RM49.7 bilion (2012), RM52.3 bilion (2013), RM54.7 bilion (2014), RM58 bilion (2015).

‘Sejak PRU13 hingga kini, telah menunjukkan angka yang memberansangkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Zabry Abd Wahid dalam Sidang DUN pada Rabu.

Katanya, di dalam konteks rancangan jangka panjang negeri, berdasarkan kepada prestasi yang dinyatakan, kerajaan negeri telah mengambil langkah seterusnya untuk meningkatkan lagi kecapaian dalam pelbagai bidang, antaranya mewujudkan tiga daerah baharu – Kampar, Mualim dan Bagan Datuk.

Menurutnya, dengan kewujudan daerah-daerah baharu itu, kerajaan negeri dapat memperkasakan lagi usaha pembangunan melalui jalinan mekanisma urus tadbir negeri yang lebih rapat dengan daerah-daerah tersebut.

Dalam konteks pelaburan pula, kata beliau, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pada 2016 3.946 bilion peningkatan 2.67 peratus berbanding RM3.887 bilion pada 2015.

Dr Zambry berkata, terdapat juga pelan pembangunan diwujudkan bagi memastikan negeri Perak terus membangun.

Beliau menambah, antara pelan itu ialah Pelan Pembangunan Perak Amanjaya, Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Perak (PIDAP 2008 – 2020), Pelan Induk Perlombongan Perak, Rancangan Pembangunan Wilayah Perak Selatan, One Malaysia Youth City di Tanjung Malim, Greater Kamunting dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak.