IPOH: Keadaan keselamatan dan ketenteraman dalam negara masih dalam keadaan tenang dan terkawal.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, tidak ada isu atau insiden yang memungkinkan sebarang kekacauan atau pecah keamanan secara besar-besaran.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis akan terus memantau keadaan di seluruh negara dari semasa me semasa.

“Kita berharap mudah-mudahan, insya Allah negara kita akan sentiasa aman dan tenteram.

“Walau bagaimanapun, seperti mana yang saya katakan tadi bahawa dan juga yang disebutkan oleh Ketua Polis Negara, pihak PDRM akan tetap sentiasa bersiap sedia untuk memastikan bantuan-bantuan sumber manusia jika diperlukan oleh ketua-ketua polis negeri akan sentiasa siap sedia untuk mereka guna pakai pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penutup Ujian Rentas Halangan KDNKA di Kem PGA Hulu Kinta pada Isnin.

Sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermula Sabtu lalu.

Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman muncul juara keseluruhan sekaligus memenangi Piala Pusingan pertandingan.

Acryl Sani berkata, pertandingan itu akan dijadikan acara tahunan, sebagai salah satu tiga acara untuk memastikan tahap fizikal dan mental setiap pegawai dan anggota polis sentiasa berada pada tahap tertinggi.