KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sentiasa menjaga kebajikan pekerja khususnya wanita hamil.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, beliau tidak akan membenarkan sebarang bentuk diskriminasi terhadap golongan wanita.

“Jika ada, kita akan jalankan siasatan dan jika ada maklumat, tampil buat laporan sebelum siasatan dilakukan.

“Sekiranya pekerja wanita ditamatkan kerja atas alasan hamil dan itu dianggap tidak adil, mereka boleh failkan mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan untuk bekerja semula dengan jawatan asal mereka,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu sama ada pihak kementerian memberi jaminan polisi terhadap wanita hamil yang memohon kerja untuk tidak ditolak tawarannya.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara yang amalkan prinsip demokrasi dan kerajaan beri kebebasan untuk rakyat pilih bidang dan pekerjaan masing-masing.

Katanya, mana-mana majikan yang tidak ambil wanita hamil bekerja sebagai satu kesalahan, bagaimanapun ia tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara untuk ambil atau tidak tanpa melakukan diskriminasi.

“Walaupun tiada sebarang peruntukan mana-mana akta Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja tetap akan mengambil aduan yang dilaporkan.

“Sekiranya aduan itu berasas majikan diminta untuk tidak amalkan diskriminasi terutama mengikut gender. Berdasarkan rekod jabatan tenaga kerja, di tahun 2014 hingga 2016, hanya satu aduan mengenai keengganan majikan utk menggaji wanita bertudung dan kita telah beri amaran terhadap majikan terbabit,” katanya.

Tambahnya, Seksyen 42 Akta Kerja 1955 memperuntukkan sekatan pemecatan pekerja wanita selepas tempoh kelayakan bagi memastikan wanita semasa cuti bersalin tidak diberhentikan kerja.

“Selain itu, mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturan ini akan dikenakan penalti atau denda tidak lebih RM10,000,” katanya.

-SinarHarian