GERIK: Kebakaran hutan di Bukit Gua Tedung berhampiran Kampung Air Ganda yang mula dikesan Khamis pagi telah merebak kira-kira 120 hektar pada Jumaat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pemadaman di atas bukit berketinggian 314 meter itu diteruskan menggunakan jalan darat.

“Dengan kekuatan 61 orang, pasukan pemadam membuat ‘fire break’ dan memadam tunggul kayu yang terbakar,” katanya di sini.

Operasi pemadaman ditangguhkan jam 6 petang dan akan disambung Sabtu lagi untuk memadamkan kesan kebakaran yang masih tertinggal.

Pihak JBPM Perak menerima panggilan mengenai kebakaran di atas bukit itu kira-kira jam 8.34 pagi Khamis dengan kawasan terlibat hanya kira-kira 16 hektar.