LUMUT: Satu kebakaran kecil telah berlaku di atas KD Jebat di Tambatan Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 2.30 pagi ini.

Maklumat awal mendapati kebakaran berpunca di rumah masak semasa penyediaan persiapan sahur.

Menurut kenyataan TLDM, tindakan awal anak-anak kapal telah berjaya mengawal sepenuhnya pada jam 5.00 pagi dari merebak dengan bantuan Bomba TLDM.

“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya kenyataan itu yang dikeluarkan pagi ini.

KD JEBAT merupakan kapal jenis Frigat dan telah ditauliahkan pada 10 Nov 1999.

Kapal kini ditugaskan di Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut.

Menurut kenyataan itu lagi, Panglima Tentera Laut memaklumkan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menyiasat punca kejadian dan nilai kerosakan.