BATU KURAU: Kebenaran pergerakan merentas negeri mulai Rabu ini amat melegakan pekebun durian di sini yang terkenal dengan durian bukit.

Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), harga durian di peringkat ladang masih kekal tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan Dan Sekuriti Makanan Negeri Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, dalam lawatannya semalam, beliau mendengar keluh kesah mereka kerana tidak ada pengunjung luar, seperti tahun-tahun lalu.

“Pengumuman Perdana Menteri petang semalam yang membenarkan pergerakan rentas negeri amat melegakan dan ini memberi lebih peluang kepada para petani durian mendapat untung berkali ganda kerana permintaan buah durian dijangka bakal meningkat,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mulai 10 Jun ini, rakyat Malaysia sudah boleh rentas negeri untuk pulang ke kampung dan berjumpa dengan keluarga.

Pada masa sama, beliau juga menyatakan bahawa aktivti komersial juga dibenarkan beroperasi kembali.

Abdul Yunus berkata, kebenaran itu memberi peluang kepada para perantau untuk pulang manakala pengemar durian dari luar bakal memilih Daerah Batu Kurau sebagai destinasi hujung minggu.

“Semua ini pasti memberi rezeki yang luas kepada pekebun dan peraih durian tambahan kemuncak pengeluaran durian Batu Kurau akan tiba dihujung Jun dan awal bulan Julai ini,” ujarnya.

Menurutnya, beliau turut melawat Pusat Pemprosesan Durian FAMA Batu Kurau yang merupakan pusat pertama mendapat pengiktirafan untuk memproses dan mengeksport durian ke negara China.