IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu semua masjid dan surau melakukan revolusi kebersihan tandas-tandas di premis masing-masing kerana impaknya bukan sahaja kepada institusi itu tetapi terpalit kepada agama Islam.

Beliau berkata, berikutan itu, perlu ada satu gerakan yang berterusan dalam memberi pendedahan tentang garis panduan dan konsep tandas awam bersih yang perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua pihak.

“Adalah malang apabila kita mendapati tandas-tandas awam di masjid dan surau tidak dijaga dengan baik kerana ia memberi gambaran buruk bukan sahaja kepada masjid bahkan kepada agama juga.
“Lantaran itu, kita mahu ada revolusi baru dalam memastikan amalan kebersihan diterapkan di tandas-tandas masjid dan surau yang pada kebiasaannya, turut berfungsi sebagai tandas awam, ” katanya.

WhatsApp Image 2017-05-15 at 12.46.22WhatsApp Image 2017-05-15 at 12.46.23

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hammam 2017 Peringkat Negeri Perak-Merevolusikan Pemikiran Tentang Kebersihan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr. Mazalan Khamis dan pensyarah Senireka Dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar, Abdul Hamid Mohamed.

Dr. Zambry yang mengalu-alukan penganjuran seminar anjuran IDR itu, menyifatkan bahawa ia mampu memberikan kefahaman kepada masyarakat secara praktikal tentang cara-cara terbaik untuk menjaga kebersihan tandas.

Katanya, beliau seringkali meninjau keadaan tandas awam di negeri ini secara bersendirian atau secara rasmi.

“(Tidak kira) sama ada tinjauan saya itu dilaporkan atau tidak. Jika ada aduan daripada orang ramai (mengenai keadaan tandas awam) maka pihak yang menguruskan tandas berkenaan perlu bertanggungjawab, ” ujarnya.

WhatsApp Image 2017-05-15 at 12.46.28WhatsApp Image 2017-05-15 at 12.46.29