IPOH: Pelopor kedai emas bumiputera di Ipoh, Kedai Emas Safura bakal melancarkan koleksi barang kemas eksklusif yang diimport dari Itali pada 11 Oktober ini.

Pengasasnya, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata, pihaknya menyediakan hampir 30 rekabentuk unik daripada emas 750, gabungan emas kuning, putih dan ros.

“Ia amat sesuai untuk generasi muda masa kini dan mereka yang menginginkan citarasa moden dan keanggunan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Bibi Safura, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, hanya ada dua kedai emas di Malaysia yang diberi hak menjual rekaan itu, termasuk Kedai Emas Safura.

Beliau berkata, sempena pelancaran itu, pelbagai jenis barang kemas seperti gelang tangan dan kaki serta rantai leher akan dijual pada harga RM280 satu gram, termasuk upah.

Kedai Emas Safura merupakan kedai emas bumiputera pertama yang menjual emas 916 pada harga borong di Ipoh.

Bermula secara kecil-kecilan di Medan Gopeng, kini ia telah membuka cawangan di Meru sejak bulan lalu.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah menjual beli emas, membeli emas lama pada kadar tinggi, membaiki emas yang rosak, menjual emas pada harga borong, menerima tempahan dan menjual barangan batu permata.

Selain melancarkan rekabentuk eksklusif dari Itali, kedai itu akan merasmikan penjenamaan dan wajah baharunya pada hari tersebut.