SHAH ALAM: Kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor akan diputuskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, secara rasmi esok.

Kenyataan media itu akan dikeluarkan oleh pihak Istana Selangor pada jam 9 pagi.

Mohamed Azmin berkata, baginda Sultan menitahkan demikian esok, namun beliau enggan mengulas kedudukannya sebagai Menteri Besar ketika ini.

“Alhamdulilah, pertemuan saya dengan Sultan Selangor berjalan lancar dan baginda amat gembira dengan penjelasan yang diberikan.

“Dalam mesyuarat tadi, selain isu Menteri Besar, isu berkaitan negeri Selangor turut dibincangkan. Baginda akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak istana pada pagi esok,” katanya ketika ditemui ketika di perkarangan Istana Kayangan di sini, hari ini.

Beliau meninggalkan istana dengan menaiki kenderaan rasmi, jam 1.48 petang. Pertemuan hampir dua jam itu difahamkan bagi membincangkan dengan baginda mengenai jawatan Kabinetnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Terdahulu, beliau tiba di istana itu pada jam 11.50 pagi. Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sama ada beliau menerima pelantikan sebagai Menteri Kabinet, kata Mohamed Azmin, perkara berkenaan juga akan dimaklumkan esok.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bagi membincangkan jawatan Kabinetnya.

Dr Mahathir kelmarin mengumumkan nama 15 Menteri Kabinet termasuk menamakan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin, 54, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan beliau iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amiruddin Shari dan ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin – berita harian