KUALA LUMPUR: Pihak kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland sedang cuba mengesahkan identiti mayat seorang lelaki yang sudah reput dipercayai warga Malaysia, ditemui di pergunungan Tatra dekat selatan negara itu, Ahad lalu.

Jurucakap Kedutaan Malaysia di Warsaw berkata, mereka dimaklumkan oleh pihak berkuasa tempatan kira-kira 3.30 petang waktu tempatan dan maklumat itu disampaikan kepada unit berkaitan Wisma Putra untuk prosedur pengesahan.

“Kami tidak memperoleh atau melihat dokumen Malaysia seperti yang dimaklumkan pihak berkuasa tempatan, namun kami mempunyai nama dan alamat di Malaysia.

“Kedutaan sudah meminta salinan dokumen pengenalan yang mereka temui pada mayat, namun kami masih belum mendapatkannya, mungkin ia tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi .

Mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemui bersama dokumen Malaysia di dalam bajunya oleh pelancong berhampiran laluan bertanda menuju ke tasik Oko Morskie.

Pihak berkuasa tempatan yang menyiasat kes itu di Poland memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Warsaw mengenai kejadian itu menerusi kenyataan faks petang semalam.

Jurucakap kedutaan Malaysia berkata pihaknya membuat semakan identiti yang diberikan dengan senarai 140 rakyat Malaysia yang tinggal di Poland, termasuk pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan, tetapi tiada yang sepadan.

“Kemungkinan lelaki berkenaan adalah pelancong Malaysia kerana lokasi mayatnya ditemui berhampiran dengan sebuah tasik yang terkenal, tasik Morskie Oko, yang menjadi tarikan pelancong, terutama kepada pengembara, namun masih terlalu awal untuk mengesahkan,” katanya.

Tatra adalah gunung yang terletak di sempadan semulajadi antara Slovakia dan Poland. Ia gunung tertinggi di Pegunungan Carpathian.

Beliau berkata, pihak kedutaan juga tidak menerima sebarang laporan orang hilang dalam tempoh beberapa bulan lalu tetapi seperti yang ketahui umum, tidak semua orang Malaysia yang berkunjung ke sana mendaftar dengan pihak kedutaan kerana ia tidak diwajibkan.

“Kami akan menunggu Wisma Putra untuk mencari keluarga mangsa terlebih dahulu sebelum kami dapat mendedahkan butiran lanjut, seperti nama dan sebagainya,” katanya sambil menambah mayat lelaki itu kini berada pada pihak berkuasa tempatan dan hanya akan diserahkan selepas bedah siasat dilakukan.

Akhbar Daily Mail semalam memetik Ketua Pendakwa Raya Gunung Zakopane, Barbara Bogdanowicz, memaklumkan bahawa lelaki itu mungkin meninggal dunia beberapa bulan lalu ketika musim gugur atau musim sejuk.

“Ia berikutan baju panas ditemui pada mayat mangsa dan kematiannya bukan akibat perbuatan khianat. Lelaki terbabit mungkin tersesat dan kesejukan ketika hari bertukar malam,” kata Bogdanowicz – berita harian