Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Kegembiraan dua beradik yang berkonvoi bersama empat rakan mereka berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dan lima lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 244.4 arah Selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Mohd Khir, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha hilang kawalan lalu terbabas sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, abang mangsa yang turut menyertai konvoi itu, berada di bahagian belakang dan menyaksikan kematian adiknya sendiri.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati enam sahabat berusia di antara 19 hingga 23 tahun itu dipercayai sedang menuju ke R&R Sungai Perak daripada tol Kuala Kangsar.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang sedang menunggang motosikal di bahagian lorong kanan disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri di bahagian tengah jalan.

“Berikutan itu, kesemua lima buah motosikal yang datang dari arah belakang telah cuba mengelak mangsa dan hilang kawalan lalu terbabas sendiri,” katanya kepada Suara Perak.

Menurutnya, impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa yang berasal dari Kota Lama Kanan, di sini meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua lima sahabat itu mengalami kecederaan parah .

Kata Wan Jamil, kesemua remaja yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar bagi rawatan lanjut sementara mangsa turut dihantar bagi bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca sebenar kematian adalah hentakan trauma kepada kepala berikutan impak rempuhan kemalangan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya lagi.