TELUK INTAN: Kerajaan negeri yakin bahawa tanaman nenas yang pernah menjadi sumber pendapatan utama di Kampung Selabak mampu dihidupkan semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata perancangan itu akan menjadi salah satu teras utama dalam Pelan Pembangunan Pertanian DUN Changkat Jong.

Katanya, dengan kerjasama dan pemantauan daripada agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut tidak mustahil industri nenas di Selabak mampu dikembalikan seperti zaman kegemilangannya sebelum ini.

8f9e2462-5ca9-412b-9713-9eb1f1c5dac0

“Kita bersedia merancang pelan khusus untuk membangunkan semula tanaman nanas di Kampung Selabak yang pupus ekoran kekurangan bekalannya masa kini.

“Diharap dengan adanya pelan pembangunan pertanian di Changkat Jong ini, tanaman nenas yang diuruskan oleh Koperasi Usahawan Jaya Wawasan Selabak Hilir Perak Berhad akan melahirkan semula nama Nanas Selabak bagi kawasan ini yang cukup dikenali ramai dahulu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pelan berkenaan sempena Program Permukiman Menteri Besar :Hilir Perak di Ladang Nanas Kampung Selabak Dalam pada petang Khamis.

08982b11-955e-46f1-976e-d70cac3472c1

Katanya, beliau amat menghargai inisiatif bernas daripada ADUN Changkat Jong, Datuk Mohd Adzhar Jamaluddin yang merupakan satu-satunya ADUN yang mempunyai pelan pembangunan pertanian sendiri dalam usaha memperkasakan pertanian sebagai sumber utama pendapatan penduduk.

Jelas beliau, usaha untuk menaikkan semula nama Nenas Kampung Selabak akan menemui kegagalan tanpa kerjasama dan muafakat daripada semua pihak terutamanya pekebun.

“Tanah di kawasan ini adalah subur namun kita menghadapi masalah daripada kekurangan individu pekebun yang mempunyai minat serta bertekad untuk menanam nenas.

“Mereka perlu berganding bahu bagi tujuan ini kerana tanaman nenas, memerlukan kesabaran yang tinggi kerana hasilnya hanya boleh diperoleh selepas 13 bulan ditanam, namun ramai tidak tahu bahawa ia memberi pulangan hasil yang lumayan jika berjaya,” katanya lagi.

Menurut Saarani, kerajaan negeri juga sudah mendapat persetujuan Lembaga Perusahaan Nanas Malaysia (LPNM) untuk bersama-sama membantu pekebun-pekebun di Kampung Selabak menanam nanas.

“Kita juga akan berbincang dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagaimana membantu pekebun-pekebun ini memasarkan nanas mereka nanti,” ujarnya lagi.