MANJUNG – Aksi jurukimpal wanita pertama negara melakukan kerja kimpalan dalam air menarik perhatian pengunjung ketika demonstrasi di Weldzone Training Centre Sdn Bhd, semalam.

Nurizzati Athira Mohamad Yusoff, 21, yang berada di bawah bimbingan Weldzone Training Center, menjadi perhatian selepas berita mengenai keberaniannya menceburi bidang kimpalan dalam air disiarkan Sinar Harian, tahun lalu.

Malah anak kelahiran Selama, Taiping ini tidak kekok menunjukkan demonstrasi di hadapan hampir 100 pengunjung yang hadir pada sesi Demonstrasi Mengimpal, Mengecat dan Underwater Blasting di dalam air, di Seri Manjung, hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Weldzone Training Centre, Mohd Shukri Mohd Abdul Aziz, Nurizzati Athira menerima tawaran pekerjaan daripada pelbagai jenis syarikat dalam mahupun luar negara selepas berita berkenaan tersebar.

Mengulas mengenai demonstrasi tersebut, Mohd Shukri berkata, mengurangkan pencemaran semasa kerja mengecat, mengimpal serta blasting dalam air antara perhatian yang diberikan oleh syarikatnya itu.

Katanya, setiap syarikat perkapalan memberikan perhatian kepada penjimatan kos semasa kerja-kerja mengimpal, mengecat mahupun underwater blasting di dalam air.

“Kerana itu pada hari ini Weldzone Training Centre mengadakan demonstrasi bagi kerja kimpalan, mengecat serta underwater blasting bawah air yang disediakan oleh kami kepada pengunjung yang hadir.

“Kita menunjukkan kepada pengunjung keupayaan yang ada pada syarikat kami dalam melakukan kerja-kerja mengimpal di dalam air serta mengecat permukaan kapal tanpa perlu melakukan kaedah upslip vessel,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shukri berkata, perkara yang menarik bagi kerja mengecat dalam air adalah cat yang digunakan tidak bercampur dengan air hingga ia larut.

“Manakala bagi kerja-kerja underwater blasting pula ia memudahkan syarikat perkapalan untuk melakukan pembersihan tanpa mencemarkan alam sekitar mahupun menaikkan kapal mereka menggunakan kaedah upslil vessel.

“Selain itu, kita juga menunjukkan kaedah wet blasting dalam menyelamatkan alam sekitar daripada pencemaran habuk dan ia berlainan dengan apa yang ada di pasaran hari ini,” katanya – sinar