SUNGAI SIPUT: Selepas kejadian dua wanita dilaporkan sesat ketika memanjat Bukit Berekeh di sini November lalu, kejadian yang sama berulang lagi.

Terbaharu, dua lelaki pula dilaporkan sesat di bukit yang sama pada malam Ahad.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Saiful Rizan Sulaiman mengesahkan laporan itu ketika dihubungi Suara Perak pada Isnin.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan dari Balai Polis Lintang berhubung kes berkenaan kira-kira jam 9.50 malam Ahad.

“Kami menerima panggilan yang memaklumkan dua lelaki sesat di dalam hutan berhampiran Kampung Bawong dan difahamkan, mangsa menghubungi anggota polis mengatakan mereka sesat,” katanya.

Saiful Rizan berkata, bertindak daripada laporan itu, anggota bomba dan penyelamat kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan membuka pos kawalan bagi memulakan operasi mencari dua mangsa yang dipercayai berada tidak jauh daripada pos kawalan tersebut.

Beliau memberitahu, mangsa dikatakan menyertai program mendaki di bukit tersebut dan sepatutnya pulang sebelum waktu Maghrib.

“Begitupun, kedua-dua mangsa hilang pandu arah semasa berada dalam hutan itu dan terus menghubungi anggota polis apabila merasakan mereka sesat,” ujarnya lagi.

Menurutnya, anggota bomba dan penyelamat kemudian masuk ke dalam hutan bersama-sama polis serta tiga Orang Asli sambil terus cuba menghubungi mangsa menggunakan telefon.

Katanya, usaha itu berhasil dan kedua-dua mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 11.38 malam tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 12.20 tengah malam selepas kedua-dua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.