TAPAH: Hujan renyai-renyai yang berterusan telah menyebabkan berlaku tanah runtuh di tiga lokasi di Jalan Tapah – Cameron Highlands dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu mulai jam 6 petang.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat dari orang awam mengenai kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh di Batu 24 Jalan Pahang Tapah – Cameron Highland.

“Kedua-dua arah tidak boleh dilalui tetapi tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau harta,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharudin berkata, pasukan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Belati Wangsa telah berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Menurut beliau, pihaknya juga mengesan dua lagi lokasi pokok tumbang iaitu di Batu 12 dan Batu 18.

“Hanya satu laluan boleh digunakan oleh kenderaan ringan dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan berat,” ujarnya.

Beliau menambah, buat masa ini, kerja-kerja pembersihan ditumpukan terlebih dahulu di Batu 14.