Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir enggan mengulas lanjut berkenaan kemungkinan beliau kekal sebagai Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) menang di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr Zambry berkata, beliau amat menghargai keprihatinan rakyat dan semua pihak yang mengeluarkan pandangan mereka ingin beliau memegang jawatan sebagai pemimpin negeri yang diterajuinya sejak tahun 2009.

“Cukuplah, tak payahlah kita terus berpolemik dan rasanya saya telah menjawab banyak kali berkenaan hal ini, sejak dua tiga bulan lepas saya sedar ramai yang bertanya kepada saya mengenai perkara ini.

“Buat masa ini, biarlah saya menumpukan dengan kerja, saya ingin bekerja, itulah tumpuan paling baik buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Soft Launch Pangkor Dialogue 2017 di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, beliau juga telah ditemuramah oleh pelbagai agensi berita berkenaan hal itu namun beliau tegas tidak ingin membincangkan lebih lanjut dan memberi fokus kepada tanggungjawab dan amanah sedia ada.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO Perak mahu Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar malah akan memberi sokongan padu kepadanya untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri itu selepas PRU-14.