IPOH: Faktor kekangan kewangan dikenalpasti sebagai antara punca utama kes perceraian dan keganasan rumahtangga yang turut menyebabkan peningkatan pengabaian kanak-kanak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, masalah kewangan akan mengganggu emosi pasangan seterusnya menyebabkan perceraian.

“Agak menyedihkan sebenarnya apabila kita lihat ada pasangan yang bercerai disebabkan punca kewangan yang kurang, ia juga penyebab kepada keganasan rumahtangga.

“Walaupun pada mulanya mereka tidak menyatakan itu sebab kenapa mahu bercerai, dan hanya guna alasan sudah tidak ada kesefahaman, namun apabila pihak kita soal balik barulah mereka jelaskan kekangan kewangan jadi punca,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang Perlindungan Terhadap Wanita & Kanak-Kanak Dari Segi Undang-Undang dan Institusi Perkahwinan di Dewan Kenanga, Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif UNIKL RCMP, Hisshamuddin Omar, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak, Kavaramma Subramaniyam dan Ketua Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Datuk Dr Amar Singh.

Rusnah berkata, kaum wanita wajar didedahkan dengan akta dan hak sebagai pendinding untuk menuntut nafkah, sekiranya berlaku penceraian.

“Sebagai wanita, kita perlu tahu mengenai hak dan undang-undang, jadikan undang-undang itu sebagai pendinding dan bukannya sebagai senjata.

“Ini semua untuk kepentingan anak-anak kerana mereka akan tahu bagaimana hendak tuntut nafkah, kalau wanita itu boleh berdikari dan ada keupayaan tidak mengapa tetapi bagaimana pula dengan wanita yang perlu keluar bekerja dan tak mampu bayar pengasuh.

“Anak-anak akan terabai dan ada juga yang tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah, sekaligus menyebabkan masalah sosial meningkat,” ujarnya.