TELUK INTAN: Polis telah mengambil keterangan lapan saksi berhubung kejadian dua wanita dikasari dan ditumbuk ketika menghadiri mesyuarat sebuah parti politik di sini, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 32 tahun pada hari yang sama.

Menurutnya, lapan saksi itu termasuk suspek lelaki berusia 42 tahun tetapi tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Mangsa berusia 31 tahun yang hampir pengsan dipercayai ditumbuk dalam kejadian itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai wanita dua beradik itu dilarang menghadiri mesyuarat sebuah parti politik di satu lokasi.

Ekoran itu, berlaku kekecohan setelah seorang lelaki yang ditugaskan sebagai penyelia majlis dikatakan menolak kakak hingga jatuh selain menumbuk bahagian muka adiknya sehingga pengsan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan media menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan.

Menurutnya, Amanah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan yakin siasatan yang adil akan dilakukan.

“Ahli-ahli Amanah dinasihatkan menghormati dan bertindak mengikut lunas undang-undang negara dan Perlembagaan parti dalam semua urusan kepartian,” ujarnya.