KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan memberi pertimbangan menambah jumlah perjawatan bagi mengatasi kekurangan anggota dihadapi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam usaha memerangi dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata buat masa ini JSJN hanya mempunyai kekuatan 5,000 pegawai dan anggota yang kini ditempatkan di 165 daerah di 14 kontinjen polis seluruh negara.

“Kekurangan perjawatan yang dihadapi oleh JSJN amat genting, selepas kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.

“Melalui satu mesyuarat yang diadakan secara besar-besaran bersama pihak JSJN baru-baru ini, mereka menyatakan ancaman dadah yang dihadapi kini semakin meningkat.

“Jumlah penduduk yang semakin meningkat, ancaman dadah juga bertambah, justeru kita minta kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk segera menambah perjawatan,” katanya ketika diwawancara pada program bual bicara Malaysia Prihatin: Keamanan dan Keselamatan Rakyat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang disiarkan di TV1 malam ini.

Menurutnya PDRM memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 perjawatan baharu bagi memenuhi kekurangan anggota yang dihadapi JSJN dalam tempoh 10 tahun dengan sekurang-kurangnya 2,000 pengambilan baharu dapat dibuat dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, katanya penambahan anggota JSJN juga amat penting dalam menangani sindiket dadah yang semakin canggih dalam menghasilkan ratusan jenis dadah sintetik baharu dan cara pengedaran.

“PDRM perlu berusaha untuk tidak ketinggalan dalam mendepani perkara ini,” kata Abdul Hamid yang turut menyatakan kerajaan harus memahami hal keselamatan sebagai perkara yang paling utama.

Pada program bual bicara itu juga, beliau memaklumkan jenayah indeks di seluruh negara menurun sebanyak 33.6 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac sehingga 7 September lalu.

Penurunan jenayah indeks itu membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.