IPOH: Sambutan yang memberangsangkan terhadap Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) telah menimbulkan sedikit masalah kepada pembekal untuk menyediakan bekalan yang berterusan kepada pengguna.

Ia mengambil kira faktor jenis barangan, berat muatan lori KB1AJ selain pengguna yang lebih tertumpu kepada barangan keperluan utama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad, masalah itu telah diatasi oleh pihak pembekal menerusi penambahan tempahan daripada pengilang dan penyusunan semula inventori barang mengikut permintaan di setiap DUN.

“Isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di seluruh negara masih menjadi kekangan kepada pihak pembekal untuk menyediakan bekalan tambahan.

“Berat muatan lori KB1AJ hanya sekitar 5 tan dengan kapisiti sehingga RM 11,000 nilai muatan. Oleh itu kadangkala KB1AJ agak sukar menyediakan barangan melebihi kuota yang ditetapkan,” katanya ketika ucapan penggulungan di Sidang DUN pada Selasa.

Tambahnya, mulai pertengahan April ini pihak YBU akan menggunakan dua buah lori baru dengan kapasiti 8.5 tan.

Katanya, lori ini akan digunakan di 35 daripada 70 lokasi operasi KB1AJ bergantung kepada kesesuaian tempat dan unjuran bilangan pelanggan.