IPOH: Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Bersama Datuk Jamal Abdillah di Hotel Casuarina@Meru pada 8 Julai depan, dengan sasaran kutipan RM500,000.

Presidennya, Norali Nordin berkata, majlis bertujuan untuk mengumpul dana bagi kelab melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2017 dan 2018.

Menurut beliau, setiap tahun KBGK menerima permohonan bantuan, sama ada daripada individu mahupun secara berkumpulan, dengan keperluan bantuan yang pelbagai.

Beliau memberitahu, antara program kebajikan yang telah dan akan dilaksanakan kelab itu ialah pembinaan Rumah Anak Yatim Darul Salam Kg Melayu Sg Rapat, Skim Perumahan Orang Kurang Upaya Taman Harmonis, Maahad Tahfiz Ad Din Tambun, Pusat Pengajian Al – Quran Maahad Imtiyaz Ulu Kuang dan pemberian makanan kepada gelandangan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat di Masjid Kg Paloh.

47f061e9-5c88-4a90-ad31-e8102797f21a

“KBGK merasa bertuah kerana penyanyi sensasi yang menjadi kegemaran setiap peringkat umur ini telah sudi menjalin kerjasama untuk menjayakan majlis makan malam kami yang bertemakan Beramal, Berbakti Bersama Datuk Jamal Abdillah,” katanya pada sidang media di Hotel Casuarina@Meru pada Rabu.

Selain daripada Jamal, turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Majlis Makan Malam Amal, Datuk Ishak Mohamed, Timbalannya, Datuk Hamdan Ahmad dan beberapa ahli kelab.

Norali memberitahu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah sudi mencemar duli untuk berangkat dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa badan kebajikan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga menjemput Raja Muda Perak dan Raja Puan Besar, Raja Di Hilir Perak dan Raja Puan Muda di samping Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri.

“Bagi merealisasikan sasaran dana, KBGK akan menjual meja-meja tajaan dengan menggunakan pendekatan menghubungi terus individu dermawan, ahli perniagaan, pejabat kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan badan bukan kerajaan,” ujarnya sambil menambah, meja-meja tajaan berharga antara RM2,000 hingga RM10,000.

Mereka yang ingin membuat tempahan awal, boleh menghubungi Urusetia KBGK melalui nombor telefon 012-5011599 (Zulkepli Hussin) atau 019-3518854 (Syed Shaiful Nazreen).

Sementara itu, Jamal berkata, beliau telah bersedia untuk memberi persembahan solo antara sejam setengah hingga dua jam, bergantung kepada kesesuaian yang ditentukan pihak penganjur.

“Saya bersyukur dan sangat berbesar hati kerana kelab ini sudi menjemput saya membuat amal dengan sedikit bakat yang ada pada saya,” katanya sambil membayangkan kesediaannya untuk mendendangkan sehingga lebih 20 buah lagu.