KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kelab malam dan pub ditutup selama-lamanya, sebagai tepat.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, sesiapa yang hendak berhibur, lakukan sahaja di rumah masing-masing.

“Kenyataan Perdana Menteri itu tepat. Kalau tak buka selamanya pun tak apa. Berhibur sahaja di rumah masing-masing bersama rakan dan taulan.

“Tidak perlu berpesta sehingga mabuk, lalu menimbulkan pelbagai lagi permasalahan. Hanya segelintir yang suka. Ramai yang tidak bersetuju. Ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti dan minoriti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Selasa lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, walaupun kebanyakan sektor ekonomi sudah dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelab malam dan pub akan terus ditutup.

Katanya, ada sektor yang akan terus ditutup sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

“Yang tak buka hanyalah kelab-kelab malam, pub, itu menurut saya kalau tak buka selama-lamanya pun tak apa (gurau). Kerana (di tempat itu) susah nak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya berjenaka dan disambut gelak ketawa hadirin ketika berucap pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur.

Kenyataan itu bagaimanapun, mengundang kemarahan Persekutuan Industri Hiburan Malaysia yang menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri berkaitan penutupan kelab malam dan pub.

Presidennya, Liew Poon Siak menganggap kenyataan itu sebagai satu tamparan, memandangkan bar dan pub sedang bertahan selepas tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac susulan Covid-19.

“Jika penjarakan fizikal menjadi puncanya, perhimpunan awam, keagamaan dan politik juga patut diharamkan,” tegas Poon Siak. – MalaysiaGazette