PETALING JAYA: Sayap Pemuda Amanah mengaku terkejut dan kecewa dengan tindakan ketua Pemudanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan keluar parti, sekali gus meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan Hasnul bersama beberapa Adun PH lain menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di Perak adalah perbuatan khianat.

“Kita tidak nafi tindakan (Hasnul) itu akan beri tamparan hebat kepada Pemuda Amanah, bahkan parti Amanah sendiri.

“Kita berasa kecewa dan kita tidak boleh terima pengkhianatan ini. Sikap kita jelas, kita berprinsip walaupun kita menjadi pembangkang. Bagi Amanah perjuangan bukan sekadar jawatan atau berkaitan duniawi, paling penting prinsip,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu katanya, Pemuda Amanah akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan seterusnya susulan keputusan Hasnul itu.

“Sehingga saat ini saya akan memimpin Pemuda Amanah. Kita kekal bersama PH, bersama Tun Mahathir Mohamad dan kita akan teruskan perjuangan,” katanya

Hasnul yang merupakan Adun Titi Serong dan pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri bersama 2 Adun PH lain mengisytiharkan keluar parti selepas 2 Adun PKR, iaitu Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dan Nolee Ashliin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) mengambil langkah menyertai PPBM sebelum itu.

Ia sebaik selepas Perikatan Nasional mengisytiharkan pembentukan kerajaan Perak yang baru hari ini

Dua Adun DAP tersebut ialah Paul Yong (Tronoh), yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, serta A Sivasubramaniam (Buntong).

Pada satu sidang media di Ipoh hari ini mereka mengisytiharkan keluar parti masing-masing dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Yong berkata, jika tidak menyokong kerajaan baru, banyak projek di kawasan mereka akan dibatalkan.

Dengan perisytiharan sokongan terbaru oleh 3 Adun PH itu, Perikatan Nasional kini mempunyai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Terdapat 59 kerusi DUN di negeri tersebut.