PETALING JAYA : Seorang peguam berkata, keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat cedera dalam rusuhan di luar sebuah kuil di Subang Jaya tahun lalu, boleh menyaman kerajaan atas faktor kecuaian.

M Visvanathan berkata, waris Adib juga boleh menyenaraikan jawatankuassa Kuil Sri Maha Mariamman sebagai pihak dalam saman mereka kerana turut menyumbang kepada keadaan tegang ketika itu.

“Keluarga itu boleh menamakan polis serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai defendan susulan penemuan koroner berhubung punca kematian Adib,” katanya

Koroner Rofiah Mohamad berkata “lebih dua individu tidak dikenali” menyebabkan punca kematian Adib, sebulan selepas anggota bomba itu cedera parah ketika beliau dihantar ke lokasi rusuhan di luar kuil itu pada November lalu.

Visvanathan

Visvanathan yang mewakili waris seorang individu mati dalam tahanan polis, berkata penemuan Rofiah boleh membuka laluan kepada keluarga Adib untuk menyaman pihak terbabit dan mendapat pampasan.

“Koroner merumuskan kematian itu dilakukan seseorang ketika Adib menjalankan tugas,” katanya sambil menambah laporan media menunjukkan polis sudah diketepikan daripada kesilapan mereka.

Beliau berkata, polis gagal mengawal tempat itu untuk membolehkan anggota bomba menjalankan tugas mereka.

Peguam itu berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga boleh disaman kerana tidak mempunyai prosedur operasi standard untuk anggota bomba bertugas dalam keadaan huru-hara.

Katanya, tindakan juga boleh diambil terhadap pengurusan kuil kerana meminta penganutnya berkumpul di premis itu, bukannya menasihatkan mereka pulang.

Adib meninggal dunia pada 17 Dis lalu, tiga minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Visvanathan berkata, keluarga Adib boleh mendapat pampasan bagi tuntutan tanggungan dan ganti tugi khas di bawah Akta Undang-undang Sivil.

Rofiah ketika mengumumkan penghakimannya mengkritik polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang turut menyumbang kepada kematian Adib.

“Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT (Fire Rescue Tender) dan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) sebaik saja mereka sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran,” kata koroner itu.

Visvanathan berkata, nampaknya sekarang hanya peguam negara boleh memfailkan semakan untuk mengetepikan penemuan Rofiah.

Sementara itu, seorang lagi peguam, SN Nair berkata polis boleh membuka semula siasatan mereka ke atas kematian Adib dan menyiasat kejadian itu di bawah undang-undang jenayah sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan.

“Peguam negara yang juga pendakwa raya boleh melakukan pendakwaan berdasarkan siasatan polis.”

-FMT