GOPENG – Keluarga peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang semasa menyertai perlumbaan itu sejak 23 Mac lalu, menafikan ada menawarkan ganjaran berbentuk wang tunai kepada orang ramai sekiranya menjumpai lelaki terbabit.

Abang Mohammad Ashraf, Mohd. Zahiruddin, 35, berkata, tawaran tersebut sengaja diada-adakan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan.

Katanya, mereka sekeluarga kesal dengan tindakan pihak tersebut yang cuba mengambil kesempatan atas kehilangan adiknya itu.

“Itu (ganjaran) yang viral adalah palsu. Tidak perlu layan dengan khabar-khabar angin ini kerana fokus pencarian kita adalah untuk mencari Acap.

“Kami juga tidak mengenali atau mengetahui mana-mana pihak yang cuba mengutip derma kilat untuk sukarelawan atas nama Mohammad Ashraf,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE