PARIT 14 Okt. -Kementerian Pembangunan Luar Bandar bercadang menambah kursus baharu iaitu kemahiran pembuatan beg dan kasut kepada pelajar Akademi Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kursus baharu tersebut diperkenalkan bagi memperluaskan lagi skop Akademi Kemahiran Kemas (AKK) sedia ada yang hanya tertumpu dalam bidang fesyen dan pakaian.

Sehubungan itu, kata Rina, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan bagi merealisikan cadangan tersebut secepat mungkin.

“Sekarang ini kebanyakkan pelajar kita menerima sijil dan diploma dalam bidang fesyen dan pakaian sama ada untuk wanita atau lelaki.

“Kita rasa bidang ini perlu diperluas dan dikembangkan bukan hanya tertumpu pada pakaian tetapi turut melibatkan beg dan kasut untuk kegunaan harian,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kemahiram Kemas kali ke-11 di AKK Seri Iskandar di sini hari ini.

Tambah Rina, kursus baharu itu akan diperkenalkan di AKK Seri Iskandar dan AKK Gopeng-UTUSAN ONLINE