Oleh:Nazialita Geynna Maharan

 

TAPAH: Kemajuan teknologi dan kecanggihan gajet hanya bertindak sebagai alat membantu proses pelajaran dan tidak akan sekali-kali mampu menggantikan peranan guru sebagai pendidik sejati.

 

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata kesemua alat perkembangan era moden itu juga tidak akan membantu memastikan kelangsungan kehidupan anak-anak di dalam era Revolusi Industri keempat ini.

 

Tegasnya, proses mendidik seorang pelajar tidaklah hanya bergantung kepada kemahiran  dalam bidang teknologi dan automasi tetapi juga kekuatan emosi dan spiritual.

 

“Di sinilah peranan pendidik amat penting dan saya akui tugas ini bukan sesuatu yang mudah.Saya dengan rendah hati menyeru para guru agar terus memainkan peranan sebagai pendidik, tidak sekadar mengajar ilmu berdasarkan matapelajaran yang dikhususkan.

 

“Saya berharap para guru akan kekal utuh dengan peranannya sebagai pendidik kerana tugas mendidik ini memerlukan tahap motivasi, skill, komitmen dan kesungguhan luar biasa berbanding sekadar menyampaikan ilmu,”katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2018 di Sekolah Menengah Sains Tapah

(SESTA) dekat sini, hari ini.

 

Beliau berkata adalah menjadi satu kelebihan sekiranya seorang pendidik sedar akan keperluan mengambil tahu dan memahami kekangan yang dihadapi setiap pelajar selain menyediakan pendekatan penyelesaian mana-mana isu.

 

 

“Setiap pelajar ada kekurangan dan keisitimewaan masing-masing, mungkin mereka menghadapi masalah dalam keluarga sehingga terbawa-bawa ke sekolah atau menjejaskan pelajaran dan sikap mereka.

 

“Kepada para guru lah kita bergantung harapan supaya dapat membantu mengesan dan mencari jalan penyelesaian.Mungkin ada yang merasakan ia adalah permintaan yang terlalu tinggi berbanding dengan kekangan tugasan hakiki guru dalam bilik darjah.

 

“Mungkin juga ada di antara guru yang enggan mengambil risiko digasak oleh sesetengah ibubapa yang tidak suka guru mengambil tindakan ke atas anak mereka,”ujarnya lagi.

 

Beliau berkata jasa seorang guru akan dipulangkan dengan pelbagai bentuk lain seperti kesihatan yang baik, keberkatan dan keamanan dalam rumahtangga, anak-anak yang terang hati dan baik pula budi pekerti mereka.

 

“Tugas para guru kini bukan sahaja mengajar murid tentang ilmu matapelajaran, tetapi secara langsung menyediakan murid-murid untuk berdepan dengan anjakan ekonomi dunia yang bakal menyaksikan kepupusan sebahagian dari kerja-kerja konvensional yang ada sekarang yang akan diambil alih oleh robot dan pelbagai sistem automasi,”katanya lagi.