Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seramai 28 penumpang bas ekpres terselamat dalam sebuah kemalangan yang membabitkan sebuah lori treler membawa muatan minyak masak di Kilometer 219.6, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada pagi Jumaat.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Taiping berkata, dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, dua mangsa bagaimanapun dilaporkan cedera masing-masing seorang lelaki dan wanita.

IMG-20171117-WA0010

Katanya, pihaknya menerima panggilan sekitar 7.30 dan segera ke lokasi kejadian.

“Difahamkan, berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas ekpress melanggar bahagian belakang sebuah lori treler membawa minyak masak yang telah dipek.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati kesemua mangsa penumpang bas telah dibantu keluar oleh orang awam, seramai 28 orang mangsa termasuk pemandu terselamat.

“Dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan dan mereka telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans,”katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat tumpahan minyak masak yang banyak dari lori tersebut di atas jalan raya berikutan impak rempuhan berkenaan.

Tambahnya, anggota telah bertindak membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa terlibat dan menggunakan satu aliran hos air bagi membuang sisa kenderaan serta tumpahan minyak masak berkenaan.

“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Ainol Shariman Harun itu mengambil masa sekitar tiga jam dan tamat sekitar 10.35 pagi,”katanya lagi.