TAPAH 30 Jan. – Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres, lori tangki dan lori kontena di Kilometer 329.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini hari ini menyebabkan kesesakan sehingga lebih empat kilometer.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu melibatkan lori tangki simen tanpa muatan, sebuah lori yang belum dikenal pasti dan sebuah bas ekspres dinaiki empat penumpang.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Deputi Superintenden Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu namun seorang lelaki cedera parah dan telah dihantar je Hospital Tapah.

Katanya, laluan ke selatan terhalang sepenuhnya dan kesemua kereta dialihkan laluan melalui susur keluar Plaza Tol Tapah ke Jalan Persekutuan menuju ke Kampar.

“Akibat kemalangan itu, laluan ke utara sesak sejauh empat kilometer manakala pengguna di laluan arah ke selatan telah dialihkan melalui susur keluar di Plaza Tol Tapah.

“Kawalan sedang dijalankan di kedua-dua arah bagi melicinkan pergerakan lalu lintas,” katanya. – UTUSAN ONLINE