SUNGKAI: Kemasukan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak yang dijadualkan awal Oktober ini mungkin ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Penangguhan itu dibuat sekiranya berlaku peningkatan penularan pandemik COVID-19 di kedua-dua negeri itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kemasukan penuntut IPTA itu bergantung kepada kepada keadaan semasa COVID-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan.

“Bagi kawasan seperti di Kedah, ianya adalah bergantung kepada keadaan semasa setempat itu dan waktu sekarang ini mungkin tempoh kemasukan itu ditunda sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Saya juga dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak waktu ketika itu tinggi kesnya, maka mungki. terdapat penundaan daripada tarikh kemasukan,” katanya.

Beliau ditemui ketika program ziarah kasih di Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai pada Khamis.

Menurut Noraini, pihaknya juga bergantung kepada keputusan kerajaan-kerajaan negeri yang turut mengadakan mesyuarat majlis keselamatan negeri masing-masing.

Dalam masa sama, pihak universiti juga dari sesama ke semasa akan memaklumkan kepada penuntut-penuntut yang terlibat.

Noraini berkata, setakat ini kementerian berpuas hati dengan komitmen yang diberikan universiti, khususnya dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.