IPOH: Seorang anggota tabligh yang meninggal dunia di rumahnya di Manjoi di sini bukan disebabkan oleh virus COVID-19.

Keputusan ujian saringan mendapati Mohd Asri Jamaluddin, 44, negatif COVID-19 dan pihak Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan punca kematiannya akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat si mati kira-kira jam 1.30 petang Rabu.

Menurutnya, lawatan ke tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Simati tinggal seorang diri dan kejadian disedari oleh adik simati semasa mahu menziarah abangnya. Keadaan rumah berkunci dari dalam dan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga dipohon uuntuk buka pintu yang berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmadi berkata, terdapat posting di dalam Facebook yang memberikan maklumat palsu mengenai kejadian itu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran petugas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa mengangkat mayat tersebut.

Beliau menjelaskan langkah tersebut adalah prosedur operasi standard sebagai langkah pencegahan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang posting dengan fakta tidak betul kerana boleh menyebabkan kegusaran awam serta boleh diambil tindakan undang-undang.