JOHOR BAHRU: Polis memberi jaminan akan menyiasat kematian anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaporkan meninggal dunia, di Batu Pahat kelmarin, secara terperinci dan lebih menyeluruh.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan berhubung kematian Abdul Aziz Aznam, 20, akan dibuat secara lebih terperinci bagi mengenal pasti punca kematian anggota tentera terbabit.

“Sebelum ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun kini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor mengambil alih siasatan yang akan dibuat dari segala aspek dan sudut.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian Abdul Aziz selain menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan, Allahyarham Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang Ahad, selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Anggota tentera itu dipercayai bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman Kem Majidee, Batu Pahat pada 29 Ogos lalu akibat tidak tahan menjadi mangsa buli di kem terbabit.

Abang mangsa, Mohamad Amirulnaim sebelum ini dilaporkan berkata, arwah pernah menyatakan hasrat berhenti daripada berkhidmat dalam pasukan tentera kerana tidak tahan berikutan ‘ragging’.

Mohammad Amirulnaim dilaporkan berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis namun meletakkan harapan tinggi supaya kematian adiknya itu terbela.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak pada jam 2.30 pagi tadi.