KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai bermakna kepada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia juga menandakan penerimaan rakyat pelbagai kaum di kawasan bandar dan luar bandar.

Jelas Abdul Hadi dalam satu kenyataan, MN dan PN perlu terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan khidmat yang terbaik demi kesejahteraan negara dan rakyat.

“Kejayaan ini adalah amat bermakna terhadap Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, menandakan penerimaan rakyat pelbagai kaum di kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus menuntut kita untuk terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan khidmat yang terbaik demi kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan berturut-turut BN.

PRK DUN Slim menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, dan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S.Shantarasekaran.

Mohd Zaidi menang bergaya dengan dengan majoriti 10,945 undi. – AWANI