TANJUNG MALIM: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini berpeluang mewakili suara rakyat Malaysia untuk membetulkan kesilapan dalam memilih Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata memberi kemenangan besar kepada calon Barisan Nasional (BN) adalah mesej jelas bahawa rakyat tidak lagi menyokong PH.

“Ia akan menghantar mesej yang jelas kepada pemimpin-pemimpin politik khususnya pembangkang yang masih menganggap mereka mempunyai sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Santai Peladang dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Pertubuhan Peladang Kawasan Slim River di Kampung Changkat Sulaiman di sini, hari ini.

Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, turut memohon pengundi mempertimbang kekuatan parti yang diwakili calon dan bukannya bersandarkan kebolehan calon semata-mata kerana parti politik itu yang mampu menterjemah pendirian calon terbabit.

PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baharu mengemukakan permohonan rasmi penubuhan, semalam. – BERNAMA