IPOH: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti besar semalam jelas menunjukkan rakyat mahukan permuafakatan dari pemimpin-pemimpin Islam.

Setiausaha Pas negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata kemenangan bergaya itu juga merupakan ‘signal’ positif dari rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 tidak lama lagi.

“Saya selaku Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak rasa gembira dengan kemenangan semalam, dengan majoriti besar lebih 10,000 dan ini menunjukkan bahawa rakyat mahukan permuafakatan pemimpin Islam.

“Apabila wujud permuafakatan atau perpaduan di antara tokoh dan parti besar ini, ia akan menjurus kepada kestabilan ekonomi. Apabil stabil politik maka stabil juga ekonomi dan memudahkan untuk membangunkan negara dengan lebih baik,” katanya.

Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita di program Gotong-Royong Merdeka membersihkan Tanah Perkuburan Kuala Punti, Lahat di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Akmal berharap kejayaan memenangi PRK itu dapat diteruskan dalam PRU akan datang.

“Ini adalah mesej yang jelas untuk PRU tidak lama lagi, mungkin selepas pembentangan bajet di Parlimen.. mungkin. Kita harap muafakat seperti yang berlaku di Slim itu kekal termasuk di Sabah nanti.

“Kita harap di peringkat Pas tidaklah berlaku perbalahan atau perpecahan dalam kalangan parti besar ini,kekalkan momentum seperti di Slim dan rakyat gembira dengan keadaan ini,” katanya.

Semalam, BN menerusi calonnya, Mohd Zaidi Aziz mengekalkan kerusi DUN Slim selepeas diumum menang dengan majoriti 10,945 undi.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewasan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115) dan Santhara Sekaran Subramaniam yang memperoleh 276 undi.