Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan meneliti semula peranan beberapa kementerian yang ada kaitan dengan pengeluaran tenaga mahir negara bagi mengelak pertindihan kerja.

Menterinya, YB M.Kulasegeran berkata terdapat banyak pertindihan skop kerja berlaku antara kementeriannya dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan dalam usaha ke arah melahirkan serta memenuhi keperluan tenaga kerja mahir.

Menurutnya, satu tindakan penyelarasan perlu dilakukan kerana pertindihan itu mewujudkan suasana persaingan antara kementerian-kementerian yang ada yang mana selain mewujudkan pembaziran sumber perkara seperti ini adalah tidak baik.

“Pertindihan ini perlu dihentikan, kenapa kita perlu ada persaingan di antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan kementerian lain? Semua sebenarnya satu keluarga.

“Saya mahu meneliti perkara ini, saya akan dapatkan kertas kerja daripada mereka (Kementerian Sumber Manusia) untuk diserahkan kepada kabinet, supaya perkara (pertindihan kerja) dapat selaraskan…apa yang dilakukan di kementerian lain, kita tahu kita akan ada pembaziran peruntukan itu,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di kawasan perindustrian Taman Meru, dekat sini pada pagi Ahad.

Kulasegaran menegaskan kementerian berkaitan perlu menfokuskan kepada mewujudkan persaingan sihat dengan pengusaha swasta dan juga luar negara.

Katanya, setiap perancangan dalam menyedia serta melatih sumber tenaga seharusnya perlu meletakkan standard antarabangsa sebagai persaingan mereka.

Kulasegaran turut berkata, bahawa objektif utama untuk menjadi salah satu negara berkemahiran tinggi di dalam dunia perlu direalisasikan namun perlu dilaksanakan tanpa sebarang persaingan di antara kementerian-kementerian di negara ini.

Menurutnya, kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mempunyai prospek kerja seiring dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diserap ke dalam jabatan itu merupakan contoh yang perlu dijadikan rujukan untuk hal tersebut.

1/3