BATU GAJAH – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan mengadakan satu mesyuarat bersama wakil dari Perak dan Pulau Pinang untuk membicangkan isu jual beli air di antara kedua-dua negeri itu dalam masa terdekat.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, melalui mesyuarat itu pihaknya akan mendapatkan pendirian atau syarat dari kedua-dua negeri itu supaya perancangan Perak untuk menjual air mentah kepada Pulau Pinang dapat dilaksanakan.

“Saya diberitahu peracangan untuk berbuat demikian memang sudah ada, saya telah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian untuk mengadakan mesyuarat di antara Perak dan Pulau Pinang untuk mereka beritahu pendirian masing-masing.

“Kita juga akan bina satu terowong dari Perak ke Pulau Pinang (jika terlaksana), ini akan ambil masa sedikit dan peruntukan itu akan datang dari kerajaan pusat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra beliau bersama ahli-ahli PKR di sini, pada Ahad.

Tambah beliau, kementeriannya juga sedar akan usaha Perak untuk mengadakan rundingan kerjasama bersama Selangor namun ianya belum dibuat secara rasmi.

“Kita kena tengok macam mana dulu sebab sekarang kita (kerajaan) beri keutamaan kepada projek Langat 2 yang mempunyai dua fasa, fasa satu akan dilaksanakan sebelum 2023 dan sekarangan perundingan di antara Selangor dan pusat sedang diadakan untuk memulakan fasa 2.

“Sekarang kita mahu selesaikan Perak dan Pulau Pinang dahulu,” ujarnya.

Mengenai isu pemberian hak milik kekal tanah di kampung baharu di negeri itu pula, Xavier berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian.

Dr Xavier Jayakumar

“Ianya isu negeri, biar negeri selesaikan sebab negeri ada kuasa penuh ke atas tanah, negeri kena putuskan isu ini bukan kuasa persekutuan untuk campur tangan,” ujarnya ringkas.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri tidak dapat melaksanakan cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun kepada kampung baharu ketika ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Cadangan tersebut merupakan salah satu daripada intipati yang terkandung dalam tawaran Harapan Perak untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).