IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang awam, terutamanya di daerah Larut Matang dan Selama agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada penyakit rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. 

“KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Isnin lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mewartakan Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang sebagai kawasan jangkitan rabies.

Dr Noor Hisham berkata, antara langkah yang perlu diambil orang ramai untuk mengelakkan penyakit rabies ialah:-

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  • Elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan lain;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.