KOTA TINGGI: Kementerian Kesihatan bersedia meminda Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan berkenaan, pada sesi Parlimen, November ini.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke Kabinet bagi dibincangkan terutama mengenai kadar kompaun yang bersesuaian.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga mahu mendapatkan maklum balas pelbagai pihak terutama rakyat sebelum ketetapan mengenai kenaikan kompaun itu dimuktamadkan.

“Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang bersetuju supaya kompaun dinaikkan atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan adalah amat wajar.

“Kementerian Kesihatan menyambut baik persetujuan Perdana Menteri itu dan kita akan pinda Akta 342 bagi menaikkan nilai kompaun pada sidang Parlimen November ini.

“Bagaimanapun, kita mahu tahu apa pandangan rakyat mengenai langkah ini (naikkan kompaun) kerana pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini ada Ahli Parlimen meminta nilai kompaun diturunkan kerana ia membebankan golongan tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan pelitup muka kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor di Econsave Daiman Jaya, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mendedahkan Akta 342 akan dipinda bagi menaikkan kompaun RM1,000 kepada RM10,000 bagi kesalahan melanggar SOP ditetapkan kerajaan terutama mengekang penularan COVID-19 ketika ini.