IPOH: Kes berhubung penyelewengan Perbadanan Tabung Persekutuan Kemahiran (PTPK) akan segera disiasat dalam masa terdekat bagi memastikan ianya tidak menjejaskan peluang pelajar terlibat menikmati bantuan kewangan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, YB M Kulasegaran berkata beliau buat masa ini sedang melaksanakan siasatan teliti untuk mengetahui maklumat lengkap akaun dan keseluruhan kes berkenaan.

Katanya, beliau penyelewengan yang berlaku melibatkan pendidikan pelajar dan boleh membawa impak negatif sekiranya tidak segera diselesaikan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya dengan mengambil kira semua aspek, dan ini merupakan masalah kewangan yang berlaku dari zaman pemerintahan terdahulu.

“Kita baru sahaja mengambil alih kepimpinan negara ini namun kita akan memastikan siasatan dilakukan, sebaik sahaja hasil siasatan lengkap, kita akan mengembalikan wang tersebut kepada pihak yang (teraniaya),”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Kaunter Khidmat Pelanggan Perkeso di Pasar Tawas,Tasek,dekat sini pada Sabtu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang setiausaha politik kepada menteri yang disiasat berhubung penyelewengan wang PTPK dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan RM30,000 pada September tahun lepas.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai PTPK itu dan seorang pengarah syarikat bergelar doktor ditahan selepas disyaki terbabit menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Pada tahun 2016 , kerajaan memperuntukkan RM35 juta manakala RM40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program latihan.