SUNGAI SIPUT: Kementerian Pendidikan akan memastikan segala keputusan berkaitan dasar dan polisi dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dengan mengambil kira pelbagai aspek demi kepentingan pendidikan rakyat keseluruhannya.
Menterinya, Dr Maszlee Malik yang memberikan jaminan tersebut berkata, sebarang dasar berkaitan pemerkasaan pendidikan terdahulu yang diyakini memberi manfaat akan diteruskan dengan sedikit penambahbaikan sekiranya ianya dirasakan perlu.
Menurutnya, pihak kementerian juga yakin bahawa struktur pendidikan serta proses perangkaan yang sistematik sedemikian akan dapat membentuk perpaduan dan permuafakatan di kalangan rakyat.
“InsyaALLAH , saya sentiasa berlapang dada untuk mendengar pandangan serta kritikan daripada semua pihak dan akan menimbang seadil-adilnya tanpa dibelenggu kepentingan diri.
“Justeru rakyat juga perlu bersama menyokong pembinaan Negara Malaysia baharu ini bagi membina identiti nasional dan membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara pada alaf dan dunia globalisasi yang semakin mencabar,” katanya dalam ucapan beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, di sini, hari ini.
Dr Maszlee berkata, dalam mendepani dunia tanpa sempadan, corak dan gaya pengajaran guru di bilik darjah seharusnya berubah dengan memanfaatkan segala wahana seperti capaian internet dan teknologi komputer.
Katanya, Kementerian Pendidikan sendiri telah menekankan konsep Pembelajaran Abad ke-21 atau PAK21 yang lebih menyeronokkan dan memberikan impak tinggi dari segi keberkesanannya.
“Jadi guru-guru tidak lagi wajar sekadar menggunakan buku dan papan tulis seperti guru-guru pada awal kemerdekaan dahulu.
“Perubahan zaman memperlihatkan akses kepada ilmu pengetahuan itu sebenarnya dapat dicapai dengan begitu pantas melalui teknologi maklumat dan komunikasi yang kian pesat,” ujarnya lagi.
Dalam majlis berkenaan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian SMK Bawong, iaitu satu-satunya sekolah menengah harian berasrama pertama dibina di Malaysia untuk masyarakat Orang Asli.
Baginda yang tiba sekitar pukul 10.20 pagi turut diiringi, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mat Lazim Idris dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.