IPOH: Kenaikan harga barangan sekarang bukan semata-mata disebabkan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kenaikan itu.

Menurut beliau, antara faktor itu ialah peningkatan permintaan dan penawaran, kenaikan kos pengeluaran, faktor luar jangka seperti cuaca dan bencana, keadaan dunia dan tindakan peniaga sendiri.

“Kenaikan harga barangan bukan semata-mata disebabkan oleh GST kerana sebelum ini pun ada pelbagai cukai seperti SST dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Wong Kah Who (DAP – Canning) semasa sidang DUN pada Isnin.

Menjawab soalan asal Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN – Kenering), Samsudin memberitahu, kerajaan sedar kenaikan harga barangay amat membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan bertindak terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk memastikan harga barangan keperluan yang dijual pada harga yang berpatutan, melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Perak.

Katanya, antara langkah dan tindakan undang-undang itu ialah melaksanakan penguatkuasaan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah.

Di samping itu, kata beliau, mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dan skuad tindakan khas (SAS) dalam usaha menangani pertanyaan, maklum balas dan menyelesaikan aduah rakyat dengan lebih cepat dan pantas.

Beliau menambah, langkah lain ialah meningkatkan keberadaan pegawai penguatkuasa di tempat-tempat tumpuan bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika.

“Kerajaan yakin bahawa usaha-usaha pengawalan yang berterusan melalui program-program serta tindakan penguatkuasaan ini akan dapat menangani tindakan peniaga yang cuba mengekplotasi harga barangan dan sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.