SEORANG wanita mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika menggunakan LRT laluan Kelana Jaya, pada petang Khamis lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Nur Suhana mendakwa, dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, lelaki yang sama turut berdiri terlalu rapat pada bahagian belakang seorang lagi penumpang wanita.

Keluhan wanita itu di laman Twitter mulai viral di laman sosial sejak semalam apabila dia turut memuat naik tiga gambar perbuatan lelaki terbabit yang memakai baju berwarna biru dan kuning.

Dalam catatannya di Twitter, wanita itu menulis ‘@MyRapidKL Assalam. Baru lepas jadi kat saya . Lelaki ni rapat dari arah belakang. Now dia rapat dengan other passenger.

“Turun di stesen Universiti at 6pm. No tren 275 arah ke putra height kelana jaya line. Done buat aduan di whatsap hotline jenayah rapidkl,” katanya di laman Twitternya yang turut dikongsi netizen.

Dalam gambar yang dimuat naik menunjukkan seorang lelaki berbaju biru dengan jalur kuning berdiri sangat rapat dengan seorang wanita bertudung dan memakai baju berwarna hitam.

Sedangkan keadaan di dalam tren tidak sesak untuk memaksa penumpang lelaki itu untuk berdiri sangat dekat.

Lelaki terbabit dilihat seolah-olah cuba mendekatkan kemaluannya ke arah wanita berkenaan yang dilihat leka bermain telefon bimbitnya.

Usaha wartawan untuk menjejaki mangsa yang memuat naik catatan itu gagal selepas dipercayai sudah menutup akaun Twitternya.

Sementara itu, Jurucakap Prasarana Malaysia Bhd ketika dihubungi berkata, pihaknya kesal dengan insiden yang menimpa wanita berkenaan.

Pihaknya sudah menerima laporan daripada mangsa serta akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu – hmetro