JOHOR BAHRU: “Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menziarahi kubur arwah ayah saya, yang juga bekas Presiden UMNO dulu, kenapa hari ini dia bersungguh hendak menziarah (kubur) pemimpin PAS,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kalau Dr Mahathir benar-benar ikhlas, beliau boleh menziarahi kubur Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) ini selesai.

“Kalau betul dia ikhlas nak ziarah kubur Allahyarham Nik Aziz, buatlah selepas PRU,” katanya mengenai tindakan Dr Mahathir mahu menziarah kubur Allahyarham Nik Aziz tetapi dihalang keluarga bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Hishammuddin berkata, Dr Mahathir tidak pernah melawat kubur bapanya, justeru amat memahami mengapa keluarga Allahyarham Nik Aziz tidak membenarkan mantan Perdana Menteri itu menziarahi kubur bapa mereka.

“Kalau kubur Presiden UMNO (Allahyarham Tun Hussien Onn), arwah ayah saya, kubur dia pun tidak pernah ziarah, kenapal sekarang beria-ia sangat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani – berita harian

BERITA BERKENAANDAP ‘Kilang’ Fitnah – PM