SUNGAI MANIK: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menganggap Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mereka cipta cerita kononnya dia ditawarkan wang RM5 juta untuk meninggalkan parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kenyataan Syed Saddiq itu sekadar reka cipta yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Tajuddin mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa ditawarkan wang sebanyak RM 5 juta oleh seorang penasihat kanan kepimpinan negara untuk meninggalkan parti dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.

“Tidak boleh pakai cerita mereka itu semua…rekaan, reka cipta, usah dengarlah, tipulah tu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Hi-Tea Penyerahan Dana RM 100,000 Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Pasir Salak (KuPAS) di Dewan Serbaguna Pekan Rabu di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Penaung KuPAS, Datin Rohkiah Abdul Samad dan Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Dr. Zubir Harun.

Terdahulu dalam ucapannya, Tajuddin mengingatkan ahli-ahli KuPAS supaya sentiasa tekun dalam mengusahakan perniagaan mereka walaupun ia bersifat kecil-kecilan.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa bersedia membantu mereka.

“Kita jangan cepat jemu dan putus asa, jangan hanya tertumpu kepada satu cabang perniagaan sahaja. Kerana perniagaan itu bersifat luas,” katanya.

Tajuddin juga mengingatkan mereka supaya jangan terpengaruh dengan sebarang bentuk fitnah yang dilemparkan golongan tertentu, kononnya kerajaan tidak membantu golongan peniaga.

“Selama ini kerajaan sentiasa memastikan golongan peniaga kecil ini tidak diabaikan untuk menerima bantuan perniagaan,” ujarnya.