Ipoh: Harapan untuk melihat anak sulungnya kembali sihat tidak pernah terpadam walaupun selepas tujuh kali menjalani pembedahan di kepala.

Mohamad Shakirin Abdul Rahman, 39, bapa kepada Muhammad Aqil Khairin, 17, yang mengalami jangkitan kuman dalam otak (Right Subdural Empyema) sejak enam bulan lalu semakin reda atas nasib yang menimpa anaknya.

Menurutnya, doktor yang merawatnya memaklumkan belum mengenal pasti punca sebenar jangkitan kuman dalam otak anak lelaki sulungnya.

“Sebelum ini, Muhammad Aqil seorang yang ceria dan periang. Di sekolah dia pelajar yang baik dan patuh arahan guru.

“Muhammad Aqil mengadu kesakitan di dalam kepala selama tiga minggu. Kemudian tiba-tiba dia pengsan serta menggelupur kesakitan sehingga dikejarkan ke Hospital Batu Gajah sebelum di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan kecemasan sekitar Julai lalu.

“Doktor mengesahkan dia mengalami jangkitan kuman di otak membabitkan kerosakan serius di beberapa bahagian saraf utama. Sehingga kini, Muhammad Aqil menjalani tujuh kali pembedahan di kepala bagi mengeluarkan nanah terkumpul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Halaman Pengkalan Sentosa, Lahat di sini semalam.

Muhammad Aqil adalah pelajar Sekolah Menengah Sultan Yusof, Batu Gajah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada penghujung tahun ini.

“Saya berharap ada pihak tampil membantu bagi menampung kos perubatan anak saya,” katanya.

Sumbangan bantuan boleh dihulurkan menerusi akaun MayBank 158275037879 Fairull Hayati Khairul Anuwar (isteri Mohamad Shakirin) atau terus ke alamat No 15, Laluan Sentosa, 3, Halaman Pengkalan Sentosa, 31500 Lahat, Perak.

-myMetro